Sejarah Masjid Al-Abdul Razak

Masjid Al Abdul Razak dibina pada pertengahan tahun 1964. Yang membiayai pembinaan masjid ini ialah seorang saudagar Arab dari Negeri Kuwait bernama Abdul Razak. Sebab itu masjid ini dinamakan “Masjid Al Abdul Razak”. Masjid ini siap dibina masa penghujung tahun 1965.


Pembukaan & perasmian masjid

Masjid ini telah dirasmikan oleh Allahyarham Encik Yusof Bin Ishak mantan Presiden Republik Singapura. Setelah dibuka, Allahyarham Tuan Syed Hussain Ali Habsyi telah dilantik sebagai imam masjid ini dan beliau tinggal di kuarters masjid ini. Beliau juga merangkap pengerusi masjid ini yang tidak rasmi dengan beberapa orang tua yang tinggal di sekeliling masjid ini seperti Allahyarham-allayarham Cikgu Wahid Bin Hussain, A. Hamid Sulaiman dan lain-lain lagi sebagai Jawatankuasa tidak rasmi masjid ini. Masjid ini khas untuk Jemaah lelaki sahaja, tiada tempat untuk jemaah perempuan.

Peningkatan masjid untuk alaf baru

Setelah MUIS ambil alih masjid ini pada tahun 1991 Tuan Imam Syed Hussain Al Habsyi masih menjadi Imam solat waktu dan Jumaat hinggalah beliau meninggal dunia di Masjid Al Abdul Razak ini pada tahun 1995 dan jenazahnya telah disemadikan di Pusara Abadi. Waktu LPM mengambil alih masjid ini tahun 1991, keadaan masjid ini terlalu usang – lantai dewan solatnya terbenam hampir satu kaki dan retak seribu. Dinding-dindingnya retak dan atap gentingnya bocor. 

 

Alhamdulillah hasil kerja kuat LPM yang dapat sokongan serta kerjasama padu dari para penderma yang budiman lagi ikhlas, masjid ini dapat memungut dan mengumpul dana hampir 3 juta dolar untuk projek peningkatan dan pembangunan semula masjid ini. Hasilnya kita sama-sama dapat menyaksikan masjid ini telah terbina semula dan dilengkapi dengan peralatan yang serba canggih serta dengan keadaan yang selesa untuk para jemaah yang bersolat di sini. 

 

Masjid ini (telah) dirasmikan pembukaannya pada 26hb Jun 2009 bersamaan dengan 3 Rejab 1430 hari Juma’at oleh yang berhormat Dr Yaacob Ibrahim dan diiringi dengan do’a oleh (mantan) Mufti Negara Tuan Syed Isa Semait.